Dari Dzakwan dari seorang lelaki Anshar berkata, "Rasulullah s.a.w. menjenguk seseorang yang sedang sakit, lalu Beliau s.a.w. bersabda, 'Panggillah tabib dari Bani Fulan.' Dzakwan berkata, 'Lalu mereka memanggilnya dan datang.' Mereka bertanya, 'Ya Rasulullah, bukankah ubat tidak berfungsi apa-apa?' Beliau s.a.w. menjawab, 'Maha Suci Allah, bukankah Allah tidak menurunkan suatu penyakit di muka bumi, kecuali menjadikan penawar untuknya?'" (Hadis riwayat Ahmad)

~*~

~*~
Gel Mandian Bidara

~.~

~.~

Thursday, July 29, 2010

Pengalaman Muallij 39 - Bibik Berisi


Pada mulanya saya tidak begitu endah tentang isu ‘bibik berisi’ ni. Tapi setelah saya sendiri telah menerima serangan dari jin yang berasal dari negara jiran ni, saya rasa ada baiknya saya menulis serba sedikit tentang isu ini.

Salah seorang pesakit saya (Encik B) mengadu masalah anaknya (Ali) memberontak dan tidak mahu ke sekolah. Bila dirawat, selain dari masalah saka saya dapati ada sihir yang dikenakan oleh suami kepada bekas bibiknya (Alia). Menurut Encik B, Alia mempunyai perwatakan yang sangat baik. Tetapi mungkin semuanya disebabkan suami Alia tak tahan mendengar pengaduan isterinya tentang sikap ‘membuli’ Ali.

Satu lagi kes lain melibatkan rakan saya sendiri (Halim). Semuanya bermula apabila Halim mula mengalami pelbagai masalah dalam rumahtangganya sejak kebelakangan ini. Masalah sakit-sakit badan dan rasa kurang selesa apabila berada di rumah adalah perkara biasa yang dialaminya saban hari. Cuma dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku dalam keluarganya apabila berlaku perubahan yang amat ketara terhadap perangai anak-anaknya. Anak lelakinya mula tidak mendengar kata dan anak kecilnya sering kemalangan.

Apa yang berlaku kepada anak kecilnya (Hafiz) amat-amat membimbangkan kerana setiap kali kemalangan, ianya akan melibatkan luka pada bahagian muka sahaja.

Pada suatu hari ketika Halim masih di pejabat, isterinya menelefon kerana ingin memberitahunya tentang kemalangan yang berlaku kepada Hafiz. Isterinya mengambil beberapa photo untuk ditunjukkan kepada Halim setelah dia pulang kerja nanti. Si isteri mula hairan kerana setiap kali dia ‘snap’ muka Hafiz, photo akan bertukar jadi putih. Dia mencuba beberapa kali tetapi tidak berjaya, sehinggalah dia putus asa.

(Di bawah adalah beberapa photo yang diberikan kepada saya)

Suatu hari Halim dan isteri telah datang untuk rawatan. Hasil dari ‘dialog kaki’ menunjukkan bahawa apa yang berlaku ada kaitan dengan bibik. Apabila mereka ‘flashback’, barulah mereka teringat yang Hafiz sering dihembus-hembus oleh bibik pada bahagian muka jika dia menangis bagi meredakan tangisannya.

‘Dialog kaki’ juga mengatakan bahawa sakit-sakit di bahagian belakang isterinya berpunca dari salah seorang bibik jirannya yang selalu ditumpang di rumah mereka bila jirannya ‘outstation’.

Hasil dari kajian yang dilakukan terdapat beberapa factor yang menyumbang kepada permasalahan ini:

1) Bibik ber’saka’/ber’asyik’. Jin saka/asyik bibik buat hal.

2) Bibik menggunakan ‘mentera’ bagi memudahkan urusan.

3) Bibik ‘clean’ tetapi dibekalkan jin oleh orang kampong tanpa disedarinya.

4) Bibik ‘bermasalah’ kerana disihir seseorang.

5) Bibik ‘tidak bermasalah’ tetapi orang lain campur tangan seperti cerita di atas.

6) Bibik dendam kerana majikan KEJAM.

Perlu saya tekankan di sini bahawa tidak semua bibik bermasalah. Ada kalanya majikan yang menjadi punca segala permasalahan. Kepada semua majikan, berhemahlah dalam hal pentadbiran rumahtangga anda. Jika anda mendapati permasalahan yang timbul berpunca dari kehadiran bibik di rumah anda, maka bawalah dia untuk dirawat.

*Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah s.w.t.

Imej belakang (kakak Hafiz) nampak jelas.

Imej belakang juga nampak jelas.

Ada sesuatu yang menghalang wajah Hafiz.

Apakah yang menghalang?

Gambar darah. Nampak?

Tuesday, July 27, 2010

Lelaki Misteri


Photo ini diberi oleh seorang rakan saya. Photo ini diambil semasa ahli keluarga mereka mengerjakan umrah. Katanya semasa photo tersebut diambil, tiada imej lelaki berjubah hitam dan berselendang putih tersebut. Tetapi bila pulang ke Malaysia barulah mereka perasan akan adanya imej lelaki tu. Kesian kedua-dua wanita dalam photo ni, ketakutan sampai demam-demam.

Saturday, July 24, 2010

Pengalaman Muallij 38 - Luka


Puan J datang bersama suami dan anak-anaknya. Puan J pernah dirawat oleh seorang perawat lain. Katanya masalah saka adalah yang paling jelas mengganggu kesihatan Puan J. Bila saya rawat, saya mendapati bahawa bukan hanya saka, tapi punca sebenar masalah kesihatan Puan J adalah sihir.

Malam tadi adalah rawatan kali yang kedua. Apabila saya mendapati bahawa sihir adalah punca permasalahan tersebut, maka keutamaan dalam rawatan adalah mencari barang sihir.

Saya telah mengarahkan kesemua jin-jin sihir supaya berkumpul di tangan kanan Puan J. Pada mulanya pergerakan tangan menjadi susah sebab tangannya menjadi terlalu berat. Saya kemudiannya mengarahkan cuma 1 jin sahaja berada di tangan dan yang lain turun ke kaki.

Tangan Puan J mula bergerak-gerak mencari dan mengutip barang sihir yang kemudiannya dipindah dan dibakar pada tangan kiri. Apabila Puan J agak keletihan saya mula menolong untuk mengumpulkan barang sihir ke tangan kanan Puan J. Tiba-tiba Puan J seperti terkejut dan mula merenung pada pergelangan tangan kirinya. Kelihatan luka kecil, 2 titik dan 1 garis memanjang. Darah mula keluar perlahan-lahan.

Apabila darah yang keluar itu agak reda. Saya suruh Puan J menggantung kedua tangannya ke depan dan mengarahkan supaya kesemua jin sihir berada di tangan kanan dan kesemua jin saka berada di tangan kiri. Apabila saya doa, "Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami dengan memberi bebanan kepada mana-mana tangan, angkara perbuatan siapakah luka ini?". Kelihatan tangan kanan mula memberat dan jatuh ke bawah.

*Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah s.w.t.

Thursday, July 22, 2010

Muzakarah Pakar: Cabaran Pendakwaan Pesalah Sihir Di Mahkamah Syariah


Saya dan Ustaz Abdul Majid telah dijemput bagi mewakili AKRINE. Berikut adalah beberapa photo sepanjang Muzakarah tersebut:

Perasmian oleh SS Dato' Setia Hj Mohd Tamyes Abd Wahid
Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor

Ceramah 1: "Prinsip Pembuktian Bagi Pendakwaan Jenayah Sihir
Dalam Peruntukan Akta Keterangan Syariah"
Oleh: Dr Zulfakar Ramlee (UIA)

Ceramah 2: "Mengenalpasti Bentuk-Bentuk Dan Tanda-Tanda Sihir"
Oleh: Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani

Pembentangan Rumusan Bengkel:
Moderator: Prof Datin Paduka Dr Zaleha Kamarudin
(Timbalan Ketua Pengarah IKIM)
Komentar 1: Tan Sri Sheikh Ghazali Haji Abdul Rahman
(Penasihat Undang-Undang Syariah, Jab Peguam Negara)
Komentar 2: Dato' Hj Muhammad Asri Hj Abdullah
(Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jab Kehakiman Syariah M'sia)

Bersama Ustaz Abd Majid

Monday, July 19, 2010

Pengalaman Muallij 37 - Sihir Auto-Reload

Encik MRR cuma menyedari bahawa dia bersaka. Dan dia juga mengetahui bahawa jin sakanya telah menjadi jin asyik yang mencintai dia dan telah mengganggu rumahtangganya. Tetapi rawatan kali ini telah menemui sesuatu yang belum beliau ketahui...beliau juga disihir.

Sihir ini bukan sahaja ditujukan kepada Encik MRR, malah kesemua adik beradiknya telah dikenakan dengan sihir yang sama.

Walaupun sihir ini bersifat 'auto reload', namun jin-jin sihir ini adalah kesemuanya jin-jin yang dipaksa dan diikat. Jika jin-jin adalah kategori 'dipaksa', maka rawatan akan jadi mudah sebab kita cuma perlu bukakan ikatan dan mereka akan bertempiaran lari menyelamatkan diri. Malah mereka juga berterima kasih sebab kita melepaskan mereka dari diperhambakan tukang sihir.

Apa yang dipaparkan dalam video adalah kaedah dialog pergerakan kaki. Di sebelah kaki kanan adalah merupakan 'jin saka cum jin asyik' dan di sebelah kaki kiri adalah jin-jin sihir. Encik MRR saban hari mendapati kakinya bergerak sendiri sehinggalah beliau menghantar SMS berikut:

"Assalamualaikum sahabat! Syukran dah tak ada auto refill@top-up jin sihir rasanya, tunggu perubahan kaki kakak dan abang nanti saya info, dah ajak abang untuk jumpa sahabat tapi dia tak mahu lagi!"

*Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah swt*

video

Pengalaman Muallij 36 - Damai Tapi Tak Damai

Puan N disihir sekian lama. Setiap kali rawatan, jin-jin sihir sering menuduh jiran sebelah rumah sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap penyihiran tersebut. Puan N dan suami hidup dalam kesusahan kerana tiada sebarang bukti saintifik bagi membuktikan pertuduhan tersebut. Serangan sihir yang kuat menyebabkan mereka jadi semakin serba salah dan keliru. Jin-jin sihir memainkan peranan utama dalam memporak-perandakan keadaan. Tanpa mereka sedari berita tentang pertuduhan itu tersebar ke seluruh taman.

Saya dijemput untuk menghadiri satu perjumpaan ‘damai’ yang diaturkan oleh wakil dari sebuah taman di Kuala Lumpur. Perjumpaan itu diadakan di sebuah rumah penduduk di situ, yang pada tanggapan saya tuan rumah merupakan seorang ahli surau yang paling ber’umur’ di kalangan mereka.

Saya bersama Puan N, suami dan anak-anak dengan menaiki kereta saya telah pergi ke rumah tersebut selepas Isyak. Setibanya kami di situ, kelihatan beberapa orang penting taman tersebut turut serta dalam majlis tersebut. Ucapan aluan diberikan oleh tuan rumah dan dia juga bertindak sebagai moderator dalam majlis tersebut.

Pada awalnya kedua pihak diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing. Suasana agak tegang apabila kedua pihak masih ada rasa tidak puas hati terhadap satu sama lain. Pelbagai cerita lama ‘salah faham’ diceritakan kepada kami. Aduh...saya cuma mampu menggelengkan kepala.

Moderator majlis akhirnya meminta mereka bersalaman dan bermaafan tetapi malangnya semuanya dilakukan dengan secara tidak ikhlas. Saya kemudian menghantar Puan N sekeluarga kembali ke rumahnya dan secara diam-diam saya kembali ke rumah tadi untuk melihat keadaan sebenarnya.

Setelah duduk minum-minum dan sembang-sembang bersama mereka, saya ada persepsi sendiri tentang keadaan sebenar majlis ‘damai’ ini. Apa yang saya mampu katakan...penganjur majlis seperti menyebelahi sebelah pihak sahaja (bias).

Saya tidak menyebelahi sesiapa. Saya tidak menyebelahi Puan N. Saya sebagai pemerhati sahaja...dan saya amat kecewa dengan apa yang saya perhatikan.

Saturday, July 17, 2010

Shooting Program "Tijarah Ramadhan" 15/07/2010

Alhamdulillah, sesi pergambaran untuk program 'Tijarah Ramadhan' berjalan dengan lancar. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Johor Corporation dan Kontena Nasional. Tidak ketinggalan ucapan terima kasih kepada krew produksi yang melakukan tugasan tanpa kenal penat dan lelah.

Sila klik disini untuk melihat photo.

Telinga kami mendengar desas-desus katanya Kontena Nasional nak ajak kami keluar berbuka puasa di bulan Ramadhan nanti. Kami OK aje. Tapi minta 'Person in charge' sila buat booking awal ya.

Terima kasih...datang lagi ya.

Saturday, July 10, 2010

Pengalaman Muallij 35 - Atuk dan Nenek

Disebalik tingkap bilik rawatan saya sentiasa tidak sabar menunggu ketibaan atuk dan nenek. Langsir tingkap saya selak beberapa kali apabila terdengar bunyi kenderaan. Yang pastinya apabila kedengaran bunyi enjin yang jelas berdekatan pintu rawatan, itulah tanda hadirnya pasangan ini. Dan sudah pasti akan kedengaran suara lelaki muda, cucu nenek dan atuk, Syam namanya mengetuk pintu dan memberi salam.

Beberapa minit kemudian akan muncul kelibat nenek dan atuk masing-masing menggunakan tongkat, berjalan perlahan-lahan memasuki bilik rawatan.

Suatu masa dulu nenek merupakan seorang wanita cantik yang digilai ramai jejaka. Nenek akhirnya memilih atuk untuk dikahwini semasa nenek berusia 15 tahun dan atuk berusia 20 tahun. Masa berlalu begitu pantas dan kini nenek berusia 83 tahun sedangkan atuk berusia 88 tahun.

Saya sedih bila melihat nenek. Keluh sakit dan resah bagaikan seiring dengan hembusan nafasnya semenjak hari perkahwinannya lagi. Nenek disihir sekian lama. Majlis perkahwinan nenek dan atuk huru hara akibat permainan sihir jejaka-jejaka yang cemburu dengan perkahwinan tersebut. Walaupun masakan kenduri tidak mendidih, nenek berguling-guling kesakitan, pasangan ini tabah mengharunginya dan akhirnya mereka berjaya diijabkabulkan.

Permainan sihir tidak berakhir pada hari perkahwinan sahaja. Pasangan ini membawa sihir ini kemana-mana mereka pergi. Katanya, kalau ziarah rumah orang, pasti air minuman yang nak dijamu kepada mereka tidak akan mendidih dan pelbagai masalah timbul kepada tuan rumah.

Semasa rawatan, nenek mudah kerasukan. Disebabkan fizikalnya yang lemah, beliau terpaksa didokong dan diusung oleh cucunya Syam apabila tamat rawatan. Pernah suatu ketika, nenek seperti tidak bernyawa selama 30 saat yang menyebabkan kami panik dan gelabah sehingggakan Syam terpaksa memeriksa nadi dan nafasnya yang terhenti.

Sihir hari perkahwinan ini berlanjutan sekian lama. Nenek pernah mengeluh tentang nasib para jejaka penyihir yang katanya semuanya sudah meninggal dunia. Sebaliknya dia, mangsa sihir masih hidup, dipanjangkan umurnya...walaupun dalam derita.

Atuk amat-amat menyayangi nenek. Saya amati beliau sering dilihat memegang erat tangan nenek apabila nenek mengerang kesakitan ketika rawatan. Sering juga kedengaran doa-doa yang dibacakan secara perlahan yang khususnya ditujukan kepada nenek. Pandangan matanya tidak pernah beralih arah daripada menatapi wajah nenek.

Atuk susah payah mencari perawat. Katanya dah ramai bomoh yang dia dah jumpa dan dia tak pernah mendatangi perawat Islam seperti saya. Saya cuba sedaya upaya mengalihkan percakapan tentang perawat Islam kerana seringkali isu ini disentuh, saya lihat riak wajah atuk berubah. Dia kesal dengan kesilapan lalu.

Saya sedih melihat mereka. Saya telah mencuba sedaya upaya. Allah belum memakbulkan doa kami. Saya harap atuk dan nenek akan terus tabah meneruskan sisa-sisa kehidupan ini.


*Semua yang berlaku adalah dengan izin Allah s.w.t.

Wednesday, July 7, 2010

Pengalaman Muallij 34 - Teknik Loud Speaker (Phone)

(Berikut adalah email yang saya terima dari Puan Z. Terima kasih di atas coretan cerita anda. Semoga bermanafaat):

Seperti yang dirancangkan, setiap tahun aktiviti lawatan harus diadakan bagi memenuhi antara cadangan-cadangan yang telah dibuat di mesyuarat agong tahunan. Buat kali ini, pada awal Julai lalu, persatuan badan amal yang dipengerusikan oleh Puan Z telah menganjurkan satu lawatan ke Tawau Sabah dengan di sertai seramai 14 orang isteri-isteri anggota badan tersebut berserta dengan 3 orang pemandu untuk 2 kenderaan rasmi kerajaan selama 3 hari dan 2 malam (Jumaat hingga Ahad).

Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau mengambil masa selama lebih kurang 13 jam menggunakan kenderaan darat dengan jarak perjalanan sejauh 572 km. Puan Z dan ahli rombongan memulakan perjalanan seawal jam 6 pagi dan sampai di Tawau pada jam 6 petang. Sepanjang perjalanan ke sana, tiada sebarang masalah yang berlaku dan dengan izinNya, segalanya dipermudahkan oleh Allah swt.

Puan Z dan rombongan ‘menetap’ selama 2 malam di sebuah hotel di pekan Tawau. Seperti amalan orang yang baru sampai di tempat yang baru, sudah pasti masa yang ada akan digunakan sebaik mungkin untuk melihat-lihat tempat tersebut dan mencuba serba sedikit makanan yang ada. Segalanya berjalan dengan lancar pada hari pertama.

Keesokan harinya, selepas menghabiskan 1/3 dari hari yang ada di pekan Tawau, rombongan Puan Z telah mengambil kesempatan untuk berkunjung ke sebuah lagi daerah yang berhampiran dengan Tawau iaitu Semporna yang jaraknya dalam 106 km, mengambil masa selama satu jam perjalanan. Tepat jam 2.30 petang, Puan Z dan rombongan sempat meluangkan masa selama lebih kurang 4 jam sahaja di pekan tersebut dan kembali ke Tawau pada jam 6.30 petang nya.

Segala kesulitan mula berlaku sebaik sahaja rombongan Puan Z pulang dari Semporna. Pada malam terakhir di Tawau (iaitu sebaik pulang dari Semporna), tidur Puan Z terganggu sebanyak 2 kali apabila penasihat beliau, Kapten Jun menelefon ke bilik hotel memaklumkan bahawa salah seorang dari ahli rombongan kami, Puan Ani telah meracau kesejukan dan mengeluarkan kata-kata yang tidak disedari olehnya. Puan Z tidak terus ke bilik puan ani, sebaliknya meminta Kapten Jun untuk memerhatikan apakah yang akan berlaku dan sekiranya keadaan tidak stabil, barulah Puan Z akan ke bilik mereka memandangkan pada waktu itu, jam sudah menunjukkan pukul 11.45 malam. Selepas dari itu, Kapten Jun menelefon memaklumkan keadaan kembali stabil dan tidak berlaku sebarang kejadian lagi.

Keesokan harinya (Ahad) Puan Z dan rombongan perlu bersiap seawal 3.30 pagi untuk bertolak balik ke Kota Kinabalu. Sepanjang perjalanan balik dari Tawau, keadaan ahli rombongan adalah baik dan sehinggalah berlaku sesuatu yang amat meninggalkan kesan kepada ahli rombongan Puan Z apabila Puan Ani mula merasakan sesuatu yang tidak sedap pada dirinya apabila rombongan ini berhenti untuk makan tengahari di pekan Ranau.

Selepas sahaja menikmati makanan tengahari, Puan Ani meminta izin untuk ke tandas sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu. Apa yang dirasakan oleh Puan Ani benar-benar berlaku pada dirinya sebaik keluar sahaja dari tandas, beliau merasakan kakinya kebas, tidak boleh bergerak, gatal di seluruh badan, rimas, sakit di bahagian dada dan sesak nafas. Puan Z yang ada bersama pada ketika itu membacakan ayat Qursi kepadanya dan turut meminta bantuan pemandu untuk cuba usaha melakukan sesuatu kepada Puan Ani agar beliau kembali pulih dan rombongan boleh meneruskan semula perjalanan.

Dalam masa yang sama, Puan Z cuba menghubungi Ustaz Marzuki, tetapi panggilan tidak berjawab. Puan Z perlu dapatkan khidmat Ustaz Marzuki untuk memulihkan keadaan memandangkan Ustaz Marzuki adalah satu-satunya kenalan Puan Z yang mempunyai kebolehan dalam memulihkan keadaan seperti ini. Sedikit kesalan dan kekecewaan apabila tidak dapat meminta bantuan Ustaz Marzuki dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. Dengan keadaan Puan Ani yang masih tidak pulih sepenuhnya, beliau di usung masuk ke dalam kereta dan rombongan Puan Z terpaksa meneruskan juga perjalanan.

Sebaik sahaja meneruskan perjalanan, lebih kurang dalam 30 minit, Kapten Jun telah menelefon Puan Z yang hanya beberapa kilometer di hadapan kenderaan mereka untuk memaklumkan bahawa keadaan Puan Ani amat membimbangkan kerana beliau seperti tidak sedarkan diri. Kapten Jun meminta kebenaran untuk berhenti sebentar untuk memulihkan keadaan. Puan Z dan ahli rombongan yang lain turut sama membantu memulihkan Puan Ani tetapi keadaan makin tidak terkawal apabila Puan Ani tiba-tiba rebah dan pengsan.

Salah seorang dari pemandu yang ada bersama telah membacakan doa pada air mineral dan merenjisnya kepada Puan Ani dan beliau sedar lalu bertanyakan apakah yang berlaku. Rupanya keadaan yang pulih itu hanya bertahan untuk beberapa minit sahaja apabila Puan Ani mula menjadi seperti orang yang dalam terpinga-pinga dan matanya liar memandang suasana sekeliling. Dan dalam masa yang sama, mula menggaru di setiap bahagian badannya.

Lantas Puan Z meminta mereka yang ada untuk mengangkat Puan Ani dan meletakkannya ke dalam kenderaan yang dinaiki oleh Puan Z. Puan Z cuba menghubungi Ustaz Marzuki sekali lagi dan alhamdulillah Ustaz Marzuki dapat dihubungi walaupun sebenarnya pada ketika itu Ustaz Marzuki sedang menghadiri satu seminar dan beliau merupakan Pengerusi Majlis kepada seminar yang berlangsung itu.

Puan Z memaklumkan apa yang berlaku dan Ustaz Marzuki meminta Puan Z membiarkan telefon bimbit di dalam mode pembesar suara (loud-speaker) dan meletakkannya ke telinga Puan Ani. Ini adalah untuk membolehkan Ustaz Marzuki membantu memulihkan keadaan Puan Ani dengan rawatan jarak jauh dan segala apa yang berlaku kepada Puan Ani terutamanya gerakan badannya semasa Ustaz Marzuki melakukan rawatan tersebut akan dimaklumkan oleh Puan Z kepada Ustaz Marzuki.

Apa yang kami saksikan adalah di luar kebiasaan yang mana Ustaz Marzuki seolah-olah berada bersama-sama kami dan gangguan yang ada pada Puan Ani akur dengan arahan yang diberikan beliau. Sepanjang pengamatan yang dibuat, kami dapat perhatikan bagaimana gangguan tersebut mula bergerak ke arah kakinya setelah diracun. Walaupun gangguan tersebut telah ditarik keluar tapi Puan Ani masih dalam keadaan separuh sedar dan akhirnya gangguan tersebut ditidurkan yang menyebabkan Puan Ani tidur dalam jangkamasa yang agak lama.

Puan Ani akhirnya sedar dan terpinga-pinga seolah tidak sedar langsung dengan apa yang telah berlaku. Kami percaya gangguan tersebut hadir ketika Puan Ani ke tandas awam di pasar ikan Semporna sebab diperhatikan yang beliau mula berubah sikap dan kebetulan salah seorang ahli rombongan (Koperal Aisyah) ada pengalaman dan tahu serba sedikit mengenai gangguan dan kehadiran jin.

Rombongan Puan Z selamat pulang ke destinasi masing-masing dan ini merupakan pengalaman yang sangat berharga dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Marzuki atas bantuan jarak jauh yang dihulurkan. Semoga Allah jua yang membalasnya dan dengan izinNya jua, keadaan Puan Ani pulih seperti sediakala.

Sekian...wassallam...