Dari Dzakwan dari seorang lelaki Anshar berkata, "Rasulullah s.a.w. menjenguk seseorang yang sedang sakit, lalu Beliau s.a.w. bersabda, 'Panggillah tabib dari Bani Fulan.' Dzakwan berkata, 'Lalu mereka memanggilnya dan datang.' Mereka bertanya, 'Ya Rasulullah, bukankah ubat tidak berfungsi apa-apa?' Beliau s.a.w. menjawab, 'Maha Suci Allah, bukankah Allah tidak menurunkan suatu penyakit di muka bumi, kecuali menjadikan penawar untuknya?'" (Hadis riwayat Ahmad)

~.~

~.~

Rabu, 7 Julai 2010

Pengalaman Muallij 34 - Teknik Loud Speaker (Phone)

(Berikut adalah email yang saya terima dari Puan Z. Terima kasih di atas coretan cerita anda. Semoga bermanafaat):

Seperti yang dirancangkan, setiap tahun aktiviti lawatan harus diadakan bagi memenuhi antara cadangan-cadangan yang telah dibuat di mesyuarat agong tahunan. Buat kali ini, pada awal Julai lalu, persatuan badan amal yang dipengerusikan oleh Puan Z telah menganjurkan satu lawatan ke Tawau Sabah dengan di sertai seramai 14 orang isteri-isteri anggota badan tersebut berserta dengan 3 orang pemandu untuk 2 kenderaan rasmi kerajaan selama 3 hari dan 2 malam (Jumaat hingga Ahad).

Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau mengambil masa selama lebih kurang 13 jam menggunakan kenderaan darat dengan jarak perjalanan sejauh 572 km. Puan Z dan ahli rombongan memulakan perjalanan seawal jam 6 pagi dan sampai di Tawau pada jam 6 petang. Sepanjang perjalanan ke sana, tiada sebarang masalah yang berlaku dan dengan izinNya, segalanya dipermudahkan oleh Allah swt.

Puan Z dan rombongan ‘menetap’ selama 2 malam di sebuah hotel di pekan Tawau. Seperti amalan orang yang baru sampai di tempat yang baru, sudah pasti masa yang ada akan digunakan sebaik mungkin untuk melihat-lihat tempat tersebut dan mencuba serba sedikit makanan yang ada. Segalanya berjalan dengan lancar pada hari pertama.

Keesokan harinya, selepas menghabiskan 1/3 dari hari yang ada di pekan Tawau, rombongan Puan Z telah mengambil kesempatan untuk berkunjung ke sebuah lagi daerah yang berhampiran dengan Tawau iaitu Semporna yang jaraknya dalam 106 km, mengambil masa selama satu jam perjalanan. Tepat jam 2.30 petang, Puan Z dan rombongan sempat meluangkan masa selama lebih kurang 4 jam sahaja di pekan tersebut dan kembali ke Tawau pada jam 6.30 petang nya.

Segala kesulitan mula berlaku sebaik sahaja rombongan Puan Z pulang dari Semporna. Pada malam terakhir di Tawau (iaitu sebaik pulang dari Semporna), tidur Puan Z terganggu sebanyak 2 kali apabila penasihat beliau, Kapten Jun menelefon ke bilik hotel memaklumkan bahawa salah seorang dari ahli rombongan kami, Puan Ani telah meracau kesejukan dan mengeluarkan kata-kata yang tidak disedari olehnya. Puan Z tidak terus ke bilik puan ani, sebaliknya meminta Kapten Jun untuk memerhatikan apakah yang akan berlaku dan sekiranya keadaan tidak stabil, barulah Puan Z akan ke bilik mereka memandangkan pada waktu itu, jam sudah menunjukkan pukul 11.45 malam. Selepas dari itu, Kapten Jun menelefon memaklumkan keadaan kembali stabil dan tidak berlaku sebarang kejadian lagi.

Keesokan harinya (Ahad) Puan Z dan rombongan perlu bersiap seawal 3.30 pagi untuk bertolak balik ke Kota Kinabalu. Sepanjang perjalanan balik dari Tawau, keadaan ahli rombongan adalah baik dan sehinggalah berlaku sesuatu yang amat meninggalkan kesan kepada ahli rombongan Puan Z apabila Puan Ani mula merasakan sesuatu yang tidak sedap pada dirinya apabila rombongan ini berhenti untuk makan tengahari di pekan Ranau.

Selepas sahaja menikmati makanan tengahari, Puan Ani meminta izin untuk ke tandas sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu. Apa yang dirasakan oleh Puan Ani benar-benar berlaku pada dirinya sebaik keluar sahaja dari tandas, beliau merasakan kakinya kebas, tidak boleh bergerak, gatal di seluruh badan, rimas, sakit di bahagian dada dan sesak nafas. Puan Z yang ada bersama pada ketika itu membacakan ayat Qursi kepadanya dan turut meminta bantuan pemandu untuk cuba usaha melakukan sesuatu kepada Puan Ani agar beliau kembali pulih dan rombongan boleh meneruskan semula perjalanan.

Dalam masa yang sama, Puan Z cuba menghubungi Ustaz Marzuki, tetapi panggilan tidak berjawab. Puan Z perlu dapatkan khidmat Ustaz Marzuki untuk memulihkan keadaan memandangkan Ustaz Marzuki adalah satu-satunya kenalan Puan Z yang mempunyai kebolehan dalam memulihkan keadaan seperti ini. Sedikit kesalan dan kekecewaan apabila tidak dapat meminta bantuan Ustaz Marzuki dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. Dengan keadaan Puan Ani yang masih tidak pulih sepenuhnya, beliau di usung masuk ke dalam kereta dan rombongan Puan Z terpaksa meneruskan juga perjalanan.

Sebaik sahaja meneruskan perjalanan, lebih kurang dalam 30 minit, Kapten Jun telah menelefon Puan Z yang hanya beberapa kilometer di hadapan kenderaan mereka untuk memaklumkan bahawa keadaan Puan Ani amat membimbangkan kerana beliau seperti tidak sedarkan diri. Kapten Jun meminta kebenaran untuk berhenti sebentar untuk memulihkan keadaan. Puan Z dan ahli rombongan yang lain turut sama membantu memulihkan Puan Ani tetapi keadaan makin tidak terkawal apabila Puan Ani tiba-tiba rebah dan pengsan.

Salah seorang dari pemandu yang ada bersama telah membacakan doa pada air mineral dan merenjisnya kepada Puan Ani dan beliau sedar lalu bertanyakan apakah yang berlaku. Rupanya keadaan yang pulih itu hanya bertahan untuk beberapa minit sahaja apabila Puan Ani mula menjadi seperti orang yang dalam terpinga-pinga dan matanya liar memandang suasana sekeliling. Dan dalam masa yang sama, mula menggaru di setiap bahagian badannya.

Lantas Puan Z meminta mereka yang ada untuk mengangkat Puan Ani dan meletakkannya ke dalam kenderaan yang dinaiki oleh Puan Z. Puan Z cuba menghubungi Ustaz Marzuki sekali lagi dan alhamdulillah Ustaz Marzuki dapat dihubungi walaupun sebenarnya pada ketika itu Ustaz Marzuki sedang menghadiri satu seminar dan beliau merupakan Pengerusi Majlis kepada seminar yang berlangsung itu.

Puan Z memaklumkan apa yang berlaku dan Ustaz Marzuki meminta Puan Z membiarkan telefon bimbit di dalam mode pembesar suara (loud-speaker) dan meletakkannya ke telinga Puan Ani. Ini adalah untuk membolehkan Ustaz Marzuki membantu memulihkan keadaan Puan Ani dengan rawatan jarak jauh dan segala apa yang berlaku kepada Puan Ani terutamanya gerakan badannya semasa Ustaz Marzuki melakukan rawatan tersebut akan dimaklumkan oleh Puan Z kepada Ustaz Marzuki.

Apa yang kami saksikan adalah di luar kebiasaan yang mana Ustaz Marzuki seolah-olah berada bersama-sama kami dan gangguan yang ada pada Puan Ani akur dengan arahan yang diberikan beliau. Sepanjang pengamatan yang dibuat, kami dapat perhatikan bagaimana gangguan tersebut mula bergerak ke arah kakinya setelah diracun. Walaupun gangguan tersebut telah ditarik keluar tapi Puan Ani masih dalam keadaan separuh sedar dan akhirnya gangguan tersebut ditidurkan yang menyebabkan Puan Ani tidur dalam jangkamasa yang agak lama.

Puan Ani akhirnya sedar dan terpinga-pinga seolah tidak sedar langsung dengan apa yang telah berlaku. Kami percaya gangguan tersebut hadir ketika Puan Ani ke tandas awam di pasar ikan Semporna sebab diperhatikan yang beliau mula berubah sikap dan kebetulan salah seorang ahli rombongan (Koperal Aisyah) ada pengalaman dan tahu serba sedikit mengenai gangguan dan kehadiran jin.

Rombongan Puan Z selamat pulang ke destinasi masing-masing dan ini merupakan pengalaman yang sangat berharga dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Marzuki atas bantuan jarak jauh yang dihulurkan. Semoga Allah jua yang membalasnya dan dengan izinNya jua, keadaan Puan Ani pulih seperti sediakala.

Sekian...wassallam...

3 ulasan:

Urban Muallij berkata...

"Semua orang boleh merawat" - Akrine.

Saya mengajak semua perawat untuk menggunakan teknik loud speaker (phone) ini sebagai salah satu bantuan kecemasan (first-aid) kepada pesakit. Tiada bezanya dalam teknik rawatan samada meracun, menidurkan dan lain-lain. Anda cuma perlukan fokus dan yakin yang betul.

Sebagaimana yang diketahui, ianya merupakan hanya first-aid...dan rawatan susulan amat-amat diperlukan.

-Selamat mencuba.

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah..
dengan izinNya jua, yakin denganNya...semoga khidmat yang diberikan oleh Muallij ini dapat membantu mereka2 yang amat memerlukannya dalam apa jua keadaan...
rupanya, dengan PJJ(perkhidmatan jarak jauh), ianya juga berkesan...subhanallah...

Ihtazzat berkata...

Untuk jimat kos, barangkali oleh guna kemudahan Skype ... dgn syarat, kedua-dua pihak ada internet dan account Skype ... nak buat Video call pun ok gitu