Dari Dzakwan dari seorang lelaki Anshar berkata, "Rasulullah s.a.w. menjenguk seseorang yang sedang sakit, lalu Beliau s.a.w. bersabda, 'Panggillah tabib dari Bani Fulan.' Dzakwan berkata, 'Lalu mereka memanggilnya dan datang.' Mereka bertanya, 'Ya Rasulullah, bukankah ubat tidak berfungsi apa-apa?' Beliau s.a.w. menjawab, 'Maha Suci Allah, bukankah Allah tidak menurunkan suatu penyakit di muka bumi, kecuali menjadikan penawar untuknya?'" (Hadis riwayat Ahmad)

~*~

~*~
Gel Mandian Bidara

~.~

~.~

Thursday, January 5, 2012

Email Pesakit 3 (Part 1) - Kembara Pelajar Universiti

Aku merupakan seorang pelajar universiti di sebuah institusi pengajian tinggi awam. Siapa sangka aku telah diberi peluang oleh Allah S.W.T. untuk merasai pengalaman yang begitu berharga buat diri ini. Pengalaman yang mengajar aku untuk lebih taat dan patuh padaNya.

Segalanya bermula ketika aku mula berasa gatal-gatal di mukaku. Pada peringkat awalnya aku hanya berpendapat bahawa itu hanya alahan sahaja kerana aku sememangnya mempunyai masalah resdung. Hari demi hari berlalu mukaku semakin teruk. Akibat tidak tahan gatal aku mula menggaru dan ini menyebabkan luka-luka di bahagian muka lalu aku mengambil keputusan untuk berjumpa dengan doktor di klinik di universitiku. Di situ, aku telah diberikan beberapa jenis ubat sapuan agar aku tidak lagi berasa gatal dan ubat bagi memulihkan luka-luka di mukaku itu. Mungkin nasib tidak menyebelahi diriku kerana ubat-ubat yang diberikan seolah-olah tidak berkesan dan hanya mendatangkan mudarat terhadap mukaku. Doktor yang merawatku akhirnya mengambil keputusan untuk merujuk kes penyakit ini kepada doktor pakar. Di hospital pakar, aku telah diberikan lagi beberapa jenis ubat sapuan antaranya ialah ‘hydrocortisone’, ‘vaseline’ dan ‘aquoas’. Setelah 2 minggu menggunakan ubat tersebut, tiada perubahan positif yang berlaku malah mukaku bertambah teruk. Doktor pakar tersebut kemudiannya memutuskan untuk melakukan ‘patch test’ bagi mengenalpasti jika aku mempunyai sebarang alahan. Selepas seminggu, ujian tersebut mengesahkan bahawa aku tidak mempunyai sebarang alahan terhadap apa-apa.

Setelah ujian tersebut tamat, aku mula menunjukkan simptom-simptom bahawa aku mempunyai penyakit ‘SLE’. Ini adalah disebabkan mukaku mengalami kemerahan yang teruk dan mula membengkak seperti belon serta mengalami kulit menggelupas yang amat teruk. Kulitku mula menjadi sensitif terhadap cahaya matahari akibat daripada kemerahan tersebut. Ujian darah telah dilakukan bagi menentukan kebenarannya. Syukur Alhamdulillah aku disahkan negatif dalam ujian tersebut. Doktor lalu memberikan aku ubat ‘elomet’ sebagai ubat kepada mukaku kerana ‘BVC’ juga tidak berkesan terhadap mukaku. Setelah lebih kurang sebulan menggunakan ‘elomet’ mukaku mula menunjukkan kesan yang amat positif. Tiada lagi gatal-gatal dan kemerahan mulai reda dan akhirnya boleh dikatakan mukaku sudah kembali seperti sedia kala. Perubahan ini turut disedari oleh rakan-rakanku dan juga para pensyarah. Menurut mereka, mukaku sekarang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan yang dahulu dan aku berasa amat gembira. Perjumpaan dengan doktor yang merawatku juga telah dianjak dari 1 bulan kepada 2 bulan dan seterusnya menjadi 4 bulan sekali. Setiap ubat pasti mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri begitu juga dengan ‘elomet’. Penggunaan yang berterusan akan menyebabkan kulit muka semakin nipis. Pada awalnya apabila mukaku sudah pulih, doktor telah melarang aku dari menggunakan ubat ini lagi namun, apabila mukaku kembali teruk seperti dahulu, doktor telah memberi kebenaran bagi menggunakan ubat tersebut lagi. Kini aku masih menggunakan ‘elomet’ seperti biasa tetapi pada kuantiti yang yang sedikit. Kalau dahulu setiap hari sekali tetapi buat masa ini hanya 2 atau 3 kali seminggu.

Tidak lama kemudian, ibuku telah cuba mencari cara alternatif bagi merawat penyakitku ini. Pada bulan Ramadhan 2011 ibuku telah membawaku berjumpa dengan Ustaz Marzuki. Teknik gantung tangan telah dilakukan bagi mengenalpasti jika terdapat sebarang gangguan makhluk halus di dalam tubuhku. Hasil teknik ini menunjukkan bahawa aku mempunyai saka dari kedua belah ibubapaku tetapi lebih didominasi dari sebelah bapa dan telah terkena ilmu sihir. Ustaz Marzuki kemudiannya telah menggunakan kaedah mengutip barang sihir, membakar barang sihir, menidurkan jin dan mengeluarkan jin dari tubuh bagi mengubati penyakitku ini.

Walaupun telah mengambil kaedah alternatif, aku masih lagi perlu menggunakan ‘elomet’ dan ini amat membimbangkan. Akhirnya, pada akhir tahun 2011 doktor menasihatkan agar aku mesti berhenti dari mengambil ‘elomet’ lagi. Ini adalah disebabkan kulit mukaku sudah menjadi sangat nipis dan dikhuatiri jika aku masih menggunakan ubat tersebut, kapilari darah akan timbul di mukaku dan apabila ini terjadi, sudah tiada apa-apa yang boleh dibuat memandangkan penyakit tersebut adalah kekal dan tiada ubat yang boleh lagi mengubatinya. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti dari menggunakan ubat tersebut kerana khuatir akan mendapat penyakit seperti yang telah diperkatakan oleh doktor. Walaubagaimanapun mukaku sedikit demi sedikit kembali seperti dahulu dan kali ini rasa pedih itu amat bisa sekali. Mulutku terkoyak di kiri dan kanan dan kemerahan yang timbul menyebabkan aku langsung tidak boleh memberi tumpuan untuk belajar walhal peperiksaan akhir tahun hanya tinggal lagi 2 minggu. Mukaku terasa amat tegang kerana ianya membengkak dengan teruk dan ada kalanya aku tidak dapat tidur kerana mengerang kesakitan.

Akhirnya ibuku mengambil keputusan untuk menggunakan Teknik Kembara dan Rawat (TKR) sebagai salah satu usaha bagi merawat penyakitku.

Semasa aku menjalani TKR, Ustaz Marzuki pada awalnya telah mengarahkanku untuk membayangkan keadaan asramaku. Setelah muncul gambaran asrama tersebut, aku telah diberi arahan untuk mengenalpasti jika terdapat unsur-unsur yang pelik (jin dan sebagainya) yang terdapat di kawasan tersebut menggunakan tangan kanan yang telah dibacakan ayat-ayat tertentu. Bermula di hadapan pintu bilikku, aku telah mengambil beberapa unsur-unsur tersebut lalu aku hantarkan ia ke Serambi Madinah. Setelah itu aku mula masuk ke dalam bilikku. Keadaanya sungguh gelap. Hanya lampu luar bilik sahaja yang menjadi cahaya untuk aku melihat di dalam bilik tersebut seolah-olah hari telah bertukar menjadi malam walhal semasa aku berada di luar pintu bilik hari masih lagi cerah. Sedang aku memerhati kawasan di dalam bilikku bagi mengambil sebarang unsur yang terdapat di situ, aku melihat seorang nenek tua sedang duduk di hujung katilku. Nenek tersebut seperti sedang bertafakur dan menundukkan mukanya ke bawah. Hati kecilku mengatakan bahawa mungkin itu hanya perasaanku sahaja.

Aku kemudiannya telah dibawa oleh mindaku ke tempat belajarku. Seterusnya aku kini berada di hadapan rumahku. Sedang aku cuba mencari jika terdapat sebarang bentuk unsur untuk di hantar ke Serambi Madinah, nenek tua yang berada di katil asramaku tiba-tiba muncul dan berada di sebelahku. Dengan sekelip mata aku telah berada semula di dalam bilik asramaku. Kini aku berada betul-betul di sebelah nenek tua tersebut. Mukanya amat hodoh dan jijik serta berlipat sana-sini menyebabkan aku berasa takut sekali kerana aku keseorangan bersamanya di situ. Seumur hidupku, belum pernah aku melihat rupa yang sebegitu. Hantu yang berada di dalam cerita hantu pun tidak begitu menakutkan sepertinya. Aku telah diarahkan bagi mengambil nenek tua tersebut dan menghantarnya ke Serambi Madinah namun tidak semena-mena nenek tersebut menjadi sangat besar dan aku menjadi lebih takut. Dengan bantuan Allah S.W.T. dan Ustaz Marzuki, nenek tersebut telah menjadi kecil lalu aku berjaya menangkapnya dan menghantarnya ke Serambi Madinah. Setelah itu, aku berhenti seketika dari meneruskan rawatan tersebut bagi menenangkan diriku.

Setelah keadaan kembali tenang, aku meneruskan TKR. Kali ini aku cuba mencari lagi jika terdapat lagi ‘benda’ seperti nenek tua tadi. Tiba-tiba aku merasa panas di tangan kananku lalu aku ambil ‘benda’ tersebut. Ustaz Marzuki kemudiannya mengarahkanku untuk memasukkan benda tersebut di dalam sebuah botol kaca yang diletakkan di depanku. Dengan izin Allah, aku melihat tiga biji cili merah berada di dalam botol tersebut. Aku juga melihat sebuah terowong yang sangat gelap dan seperti tiada penghujungnya. Aku kembali ke tempat dimana aku menimba ilmu dan di situlah aku terjumpa seorang lelaki yang aku kira pada mulanya adalah Ustaz Marzuki. Namun apabila dia menoleh ke tepi ternyata dia bukan Ustaz Marzuki. Belum sempat untuk aku menangkapnya mahupun berbicara dengannya, lelaki tersebut terus menghilangkan diri. Seketika kemudian, aku berjumpa pula dengan seorang perempuan yang bertudung labuh. Aku bertanya, “kau siapa?” dan perempuan tersebut hanya senyum sahaja. Mukanya tiba-tiba menjadi warna hitam seperti arang dan hangus. Lalu aku bertanya pula “kau ke yang buat aku?” lalu perempuan tersebut mengangguk bagi menjawab soalanku namun apabila ditanya kenapa dia berbuat demikian dan adakah dia sekarang berada dalam kesakitan, perempuan tersebut hanya mendiamkan diri sahaja. Selepas itu, perempuan tersebut juga telah aku hantar ke Serambi Madinah.

Setelah itu aku kembali di hadapan pintu pagar rumahku namun pandanganku tiba-tiba berubah dari satu tempat ke satu tempat. Bermula dengan aku berada di sebuah padang yang amat luas sekali seperti tiada seorang pun di situ. Hanya aku seorang yang berjalan-jalan di situ mencari arah tujuan. Aku kemudian dibawa masuk ke sebuah bilik yang seperti makmal di mana di dalamnya terdapat barang-barang yang digunakan untuk membuat eksperimen dan bahan lain seperti tengkorak, kain kuning dan batu-batu. Dalam sekelip mata juga selepas itu, aku berada di atas sebuah bangunan yang amat tinggi. Muncungnya amat tirus dan apabila aku menoleh ke bawah, keadaan bawah itu gelap gelita sekali. Akhirnya, aku kembali berada di hadapan pintu pagar rumahku lantas Ustaz Marzuki mengarahkan aku supaya aku menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya apabila aku melihat 3 ekor makhluk yang seakan-akan ‘elf’ berada di belakangku. Menurut Ustaz Marzuki, makhluk-makhluk inilah yang dari tadi mengganggu perjalanan TKR hingga menyebabkan mindaku membawa aku ke tempat-tempat yang berlainan. Sejurus selepas menghantar mereka ke Serambi Madinah, perutku terasa amat sakit sekali lalu Ustaz Marzuki mengarahkan aku supaya berhenti melakukan TKR.

1 comment:

Anonymous said...

Bkn semua org yg mengalami sakit gngguan bernasib baik dilayan oleh perawat. Ada perawat yg begitu cemerlang menulis pengalamannya merawat di blog, tp bila pesakit bercerita ttg mslh yg dihadapi dan ingin menemui perawat utk mendapatkan rawatan, perawat enggan ditemui dan senyap membisu tanpa alasan yg munasabah. Nk dikatakan terlalu sibuk, ada plk masa utk mereka menupdate status di fb dan juga menulis pengalaman merawat di blog. Sekadar berkongsi masalah yg dihadapi, cerita ni tiada kena mengena dgn perawat Urban Muallij. Sy pun blm pernah berhubung dgn ustaz Marzuki aka tuan tanah blog ni. Harap maklum.