Dari Dzakwan dari seorang lelaki Anshar berkata, "Rasulullah s.a.w. menjenguk seseorang yang sedang sakit, lalu Beliau s.a.w. bersabda, 'Panggillah tabib dari Bani Fulan.' Dzakwan berkata, 'Lalu mereka memanggilnya dan datang.' Mereka bertanya, 'Ya Rasulullah, bukankah ubat tidak berfungsi apa-apa?' Beliau s.a.w. menjawab, 'Maha Suci Allah, bukankah Allah tidak menurunkan suatu penyakit di muka bumi, kecuali menjadikan penawar untuknya?'" (Hadis riwayat Ahmad)

~*~

~*~
Gel Mandian Bidara

~.~

~.~

Wednesday, March 6, 2013

Email Pesakit 4 - Kembara Menyelesaikan Masalah Sihir dan Saka

Aku dan suamiku telah disihir. Semasa berubat itulah aku mengetahui bahawa keturunanku mempunyai saka. Mungkin itu jugalah yang menjadi asbab gangguan sihir yang berulang. Setelah hampir 2 tahun berubat aku sudah boleh mengawal gangguan, cuma gangguan yang datang terlalu kerap. Pinggangku hingga ke pinggul sakit bila duduk terlalu lama dan menyukarkan pergerakanku. Kepalaku juga gatal terutamanya selepas waktu Asar. Kadang-kadang aku juga merasakan sakit kepala yang amat sangat. Darah haidku juga tidak menentu dan boleh dikatakan sentiasa ada. Bila gangguan kuat aku akan rasa gelisah dan tidak selesa serta sukar tidur. Semasa melihat blog Urban Muallij, hatiku tertarik untuk mencuba kaedah TKR. Setelah memohon petunjuk dan hidayah dari Allah, hatiku meronta-ronta untuk mengetahui apa yang menganggu hidupku selama ini. Setelah menetapkan tarikh dan waktu, akhirnya sampai juga kami bertemu dengan Ustaz Marzuki untuk melakukan sesi TKR.
 
 TKR1:
 
Sebelum memulakan TKR, Ustaz Marzuki menyuruh aku membaca 'Ikrar Pemutus'. Ketika sedang membacakan ikrar tersebut, tiba-tiba aku menangis dan rasa amat sedih. Ustaz Marzuki meneruskan rawatan biasa dengan membatalkan barang-barang sihir. Ustaz Marzuki menggunakan teknik gantung tangan dan mengarahkan jin sihir berkumpul di sebelah kanan dan jin saka di sebelah kiri badan. Setelah berkomunikasi dengan jin sihir, Ustaz Marzuki mengarahkan jin sihir untuk mencari, mengutip dan membakar barang-barang sihir. Patutlah pinggangku sakit, rupa-rupanya ada tali yang diikat dari kepala hingga ke pinggul. Dengan bantuan Ustaz Marzuki, tali itu dapat dipotong. Kembara TKR pun bermula, Ustaz Marzuki mengarahkan aku membayangkan keadaan pejabatku. Setelah mencuba beberapa kali, aku tidak dapat membayangkannya kerana keadaan gelap gelita. Selepas Ustaz Marzuki membacakan beberapa ayat tertentu barulah kelihatan ruang pejabatku. Aku diarahkan untuk mengutip sebarang unsur-unsur pelik termasuk jin-jin yang kemudiannya dihantar ke Serambi Madinah (SM). Aku lakukan sesuatu seolah seperti mencuci karpet di sekeliling mejaku dan semua ruang pejabatku. Aku juga ternampak ada unsur-unsur pelik di bawah mejaku, di atas almari besi, di sekeliling meja dan komputerku. Aku juga nampak orang yang disyaki menyihirku dan seolah-olah dia tidak boleh diusik dan kelihatan seperti ada seorang penjaga. Kesemua unsur-unsur pelik tadi aku hantar ke SM. Aku juga baru perasan, patutlah setiap kali selepas melangkah masuk ke pejabat aku berasa lemah dan seperti ada sesuatu yang mengekori dan memerhatikan segala pergerakanku. Selepas tiada lagi unsur-unsur pelik di pejabatku, aku diarahkan menadah tangan dan dibacakan ayat-ayat tertentu aku meniupkan tapak tanganku ke sekeliling ruang pejabat seolah-olah seperti membuat pagar. TKR seterusnya ialah membayangkan keadaan rumahku. Aku terkejut sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, di dinding sebelah kiri bergantungan anak monyet. Semuanya aku kaut dan dihantar ke SM. Di beranda rumah pula ada gambaran wanita. Setelah ditangkap wanita tersebut, sekali lagi timbul patung berwarna putih. Ustaz Marzuki mengarahkan aku mengangkatnya tetapi patung tersebut terlalu berat dan licin. Atas bantuan Ustaz Marzuki, patung itu dapat dibakar dan debunya ku hantar ke SM. Ustaz Marzuki memaklumlan itulah tanda yang dibuat oleh tukang sihir bagi menandakan rumahku adalah rumah orang disihir. Aku beralih ke ruang tamu, diatas kerusi kayu rumahku ada unsur seperti bungkusan berwarna hitam. Aku cuba mengangkatnya tetapi bungkusan itu sangat berat dan Ustaz Marzuki terpaksa mambantu aku untuk menghantarnya ke SM. Di bilik ke-3, pula aku melihat lembaga hitam yang besar duduk di penjuru katil sambil menghadap komputer. Di bawah katil pula penuh dengan bayangan hitam . Semuanya kutangkap dan dihantar ke SM. Syukur bilik ke-2 tiada sebarang unsur tetapi di dalam tandas aku melihat ada seekor anak monyet sedang memerhatikan aku. Selepas kutangkap anak monyet tersebut, muncul lagi gambaran yang sama sehingga berulang-ulang kali aku menangkapnya. Di bilik tidurku pula aku melihat penuh bayangan hitam di bawah katil. Ustaz Marzuki mengarahkan aku membalikkan katil. Oleh kerana terlalu banyak unsur, aku membayangkan memegang penyapu dan semuanya aku sapu dan dimasukkan ke dalam guni. Aku menghantar guni tersebut ke SM. Tiba-tiba aku terpandang di tingkap rumahku ada gambaran wanita sedang memerhatikan aku. Aku menariknya dan dihantar ke SM. Muncul lagi gambaran wanita lain yang sedikit besar. Aku menariknya lagi dan Ustaz Marzuki mengarahlkan aku membuat dinding bagi menutup tingkap tersebut. Aku membayangkan papan lapis lalu aku tampal di tingkap dan dipakukan bagi dijadikan sebagai dinding. Rupa-rupanya wanita tadi dijadikan CCTV oleh tukang sihir bagi memantau segala pergerakan kami sekeluarga. Patutlah sebelum ini, orang yang menyihirku tahu segala perkara berkenaan kami. TKR seterusnya ialah di dapur rumahku, Alhamdulillah tiada unsur di dapur. Tetapi aku terpandang 'yard' rumahku, penuh dengan sarang labah-labah dan kelihatan seperti rumah lama yang usang. Aku membersihkan segala unsur yang ada di situ dan menghantarnya ke SM. Selepas membersihkan 'yard' rumahku, aku diarahkan untuk ke pintu depan setelah mendapati tiada lagi unsur-unsur pelik yang tertinggal. Seperti tadi aku diarahkan untuk meniup tapak tanganku ke semua arah sebagai memagar rumahku. Kali ini, Ustaz Marzuki menyuruh aku membayangkan diriku sendiri. Semasa menarik unsur-unsur yang ada dalam badanku, aku ternampak ada sesuatu bewarna hitam di dalam mulutku, Ustaz Marzuki mengarahkan aku menarik unsur tersebut. Rupa-rupanya itu adalah darah pekat bercampur lendir. Aku menarik darah hitam tersebut sehingga habis dan ia memakan masa yg lama kerana terlalu banyak. Darah itu aku hantar ke SM, memandangkan ia terlalu banyak aku memasukkannya ke dalam guni sebelum dihantar ke SM. Sambil itu aku ternampak ada sesuatu yang ingin keluar dari kemaluanku. Ustaz mengarahkan aku menepuk perlahan perutku dan keluarlah lendir putih bercampur darah. Rupa-rupanya inilah yang menjadi sebab darah haidku tidak berhenti keluar dan ia adalah sama bentuk rupanya. Darah ini juga terlalu banyak dan semuanya aku tarik dan dihantar ke SM. Aku melihat wajahku hitam dan tidak jelas, aku menarik bayangan hitam yg menutupi wajahku berulang kali sehingga hilang. Tiba-tiba aku ternampak 2 pasang mata sedang melihatku, salah satu mata itu ialah mata orang yang menyihirku dan satu mata lagi ialah mata orang tua. Aku menangkapnya lalu dihantar ke SM. Selepas aku berpuas hati dengan keadaan diriku, Ustaz Marzuki mengarahkan aku meniup tapak tanganku dan dan membuat blok untuk memagar diriku. Aku menyambung TKR dengan membayangkan pula suamiku. Aku lihat wajahnya juga hitam seperti aku. Aku menarik kulit mukanya seperi menarik topeng berulang kali sehingga wajahnya jelas kelihatan. Aku scan di bahagian hadapan badannya, tiada unsur-unsur gangguan. Di bahagian belakang badannya pula seperti ada lembaga hitam yang bercantum dan memerhatikan aku. Lembaga inilah yg selalu kulihat di rumah semasa suamiku tiada dan bayangannya menyerupai suamiku. Selepas aku tangkap dan hantar ke SM, tiba-tiba aku terpandang seperti ada tali yang bercampur tanah kotor diikat pada kemaluan suamiku. Ustaz Marzuki menyuruhku membayangkan memegang gunting dan memotong tali tersebut. Alhamdulillah tali itu dapat dipotong. Selepas yakin tiada lagi unsur-unsur pelik di badan suamiku, aku membuat blok untuk memagar dirinya. Sepanjang melakukan kaedah TKR ini aku diganggu dengan bisikan-bisikan jin dalam badanku, kepala dan kaki yang sekejap ok sekejap sakit dan rasa nak membuang air kecil yang teramat sangat. Aku berhenti melakukan TKR ini kerana badanku sangat penat, panas berpeluh-peluh dan dahaga. Semasa hendak keluar dari bilik rawatan aku terpandang kerusi malas di penjuru bilik rawatan dan merenungnya. Ustaz bertanyakan aku apa yang dilihat dan aku memberitahu ada orang duduk di kerusi tersebut dan sedang memerhatikan kami. Aku akan menyambung rawatan pada masa yang akan datang memandangkan waktu Asar telah masuk.
 
 
TESTIMONI Selepas TKR1:

Alhamdulillah selepas melakukan TKR darah haidku sudah kering dan tidak lagi keluar. Aku ke klinik untuk mengambil keputusan ujian Pap Smear yang dibuat sebelum TKR dan doktor memberitahu rahimku bengkak dan ada sedikit luka-luka. Doktor pun hairan bagaimana rahimku boleh luka. Di rumah aku terbayang-bayang apa yang dilihat dalam TKR tadi. Aku rasa seperti diperhatikan dan diekori. Pada malam ke-2 selepas TKR, tombol pintu bilikku berbunyi seperti ada orang yang ingin menariknya. Bulu romaku meremang dan anak kecilku menegur katanya ada budak bermain pintu. Aku membiarkannya. Badanku juga sakit yang teramat sangat di bahagian belakang dan tanganku lenguh mungkin kesan dari tali yang diikat terlalu lama. Pergerakan gangguan dalam badanku juga semakin kuat. Sepuluh hari selepas TKR yang pertama, aku melakukan TKR yang ke-2.

TKR2:

Seperti biasa, sebelum memulakan TKR aku disuruh membaca Ikrar Pemutus. Tidak seperti dulu, kali ini penglihatanku jadi berbayang dan bersilau selepas membaca ikrar tersebut. Ustaz Marzuki memberi aku botol untuk dimasukkan jin sebelum membacakan ayat-ayat tertentu dan memanggil semua jin. Mula-mula muncul 3 beranak jin yang berpakaian serba putih, Ustaz Marzuki mengarahkan mereka masuk ke dalam botol. Pada mulanya mereka membantah dan marah, tetapi setelah dipujuk akhirnya mereka akur dan setuju dihantar ke SM. Muncul pula gambaran perempuan cantik berpakaian zaman dahulukala. Jin inilah yang selalu ku nampak dan mengekoriku serta sentiasa membisikkan kononnya untuk menjagaku semenjak aku disihir. Dia tersenyum lalu kumasukkan ke dalam botol. Muncul wajah bertopeng putih, bayi dan diselangi cahaya-cahaya merah. Semuanya aku masukkan ke dalam botol. Ada jin yang masih menyorok di belakangku. Ustaz membacakan ayat-ayat tertentu dan mengambil kain lalu ditepukkan ke belakangku. Muncul jin yang bertanduk di sebelahku. Tiba-tiba aku ternampak kerusi malas di penjuru bilik bergerak dan kutarik lalu dimasukkan ke dalam botol. Aku melihat gambaran kedua-dua anakku tetapi sekejap sahaja wajah mereka bertukar menjadi budak kecil berkepala botak dan seorang lagi tidak jelas. Gambaran yang aku lihat pada kali ini tidak sejelas seperti mana yang aku lihat dahulu. Gambaran yang muncul seterusnya ialah di tandas pejabatku. Aku ternampak unsur di dalam tandas dan aku tangkap dan masukkannya ke dalam botol. Aku melihat di sekeliling ruang tandas, tiada lagi unsur pelik lain yang timbul. Semasa sedang memerhati sekeliling aku terpandang ayahku sedang memandang dengan senyuman sinis. Aku menarik ayahku untuk dimasukkan kedalam botol, gambaran ayahku timbul lagi dan kuulangi sehingga gambaran semakin kecil dan hilang. Muncul pula gambaran makcikku yang sedang sakit. Gambaran tersebut bertukar menjadi lembaga hitam berambut panjang. Semuanya aku masukkan kedalam botol. Sambil itu aku menarik segala gangguan di dalam badanku. Selepas yakin tiada lagi unsur-unsur pelik yang timbul aku menyerahkan botol yang kupegang kepada Ustaz Marzuki. Botol itu terasa berat. Ustaz Marzuki mengarahkan aku menghentikan TKR.

No comments: